1. Apabila berbangkit lagi isu Pil Kuda yang bersangkut dengan kenyataan Tuan Guru Presiden, saya ambil kesempatan untuk mendengar berulangkali dengan cermat dan teliti kenyataan Tuan Guru ( saya lampirkan link ucapan tersebut di bawah) yang dirakam pada musim pilihanraya umum ke 13.
...
2. Satu penjelasan yang ringkas tetapi tegas. Ironinya tindakan Tuan Guru Presiden adalah untuk menjaga keutuhan Pakatan Rakyat bukan meruntuhkannya. Tindakan yang rasional bukan berasaskan emosional. Sungguhpun dianggap tidak popular tetapi tindakan Tuan Guru jelas, objektif dan tegas bukan berbelit seperti ular.
3. Saudara boleh saksi dan dengar sendiri ucapan dan kenyataan yang saya dapati ianya diucap dengan penuh hati - hati, beralas dan berani bertanggungjawab. Bukan suatu kenyataan rambang, boros dan terlepas cakap. Pula berhemat tanpa membuat tuduhan kepada individu sebaliknya menyatakan penyakit secara umum untuk ditangani dan dirawat sebelum membarah.
4. Saya pasti, kalau tidak Tuan Guru Presiden yang bertindak sedemikian, tidak ramai yang sanggup dan tergamak mengambil tindakan tegas untuk merawat dan mendidik anggota jamaah bahkan ummah daripada penyakit dalaman yang pasti akan menular jika dibiar.
5. Namun timbul jua rasa tidak puas hati daripada pihak tertentu lalu mengambil langkah menyaman Tuan Guru Presiden kerana menganggap Tuan Guru Presiden menuduhnya menjual pil kuda. Serentak dengan langkah itu, cybertrooper dan individu tertentu mengambil kesempatan menyerang Tuan Guru secara peribadi dan direct menjatuhkan reputasi Tuan Guru Presiden yang dilebelkan sebagai pemfitnah dan segala bagai.
6. Menjadi hak beliau untuk menyaman Tuan Guru Presiden dalam negara demokrasi yang bebas terbuka ini. Membawa Tuan Guru Presiden ke mahkamah adalah peluang terbaik untuk Tuan Guru Presiden menjelaskan situasi sebenar dan mengemukakan bukti serta saksi dalam proses perbicaraan kelak.
7. Setelah diserang gila - gila oleh pihak tertentu kononnya Tuan Guru Presiden tidak bertanggungjawab melemparkan tuduhan tanpa bukti, Tuan Guru Presiden masih bersabar tanpa bertindak melulu. Beliau menunggu tindakan undang - undang ke atasnya jika ada pihak yang menganggapnya bohong dan fitnah terutama oleh pihak yang berasa dirinya dituduh untuk beliau pertahankan diri dan menegakkan kebenaran dimahkamah.
8. Ada pihak mendesak supaya Tuan Guru Presiden kemukakan bukti atas tuduhan beliau. Persoalannya, tiada tuduhan spesifik dalam kenyataan Tuan Guru Presiden maka untuk apa bukti dikemukakan ? Bukti mesti dikemukakan bila ada pertuduhan. Sebagaimana bukti dan saksi akan dikemukakan insyaallah apabila ada pihak membawanya ke mahkamah.
9. Maka setelah perkara ini berada di mahkamah, Tuan Guru Presiden pula telah dicalar maruahnya konon beliau melakukan fitnah tanpa bukti dan takut pula ke mahkamah, saya harap jangan ada pihak yang cuba melakukan "sesuatu" bagi menggagalkan proses perbicaraan di dalam mahkamah. Kerana itu adalah ruang terbaik untuk Tuan Guru Presiden mengemukakan bukti dan saksi yang diperlukan.
10. Pihak yang menyaman jangan tarik balik saman tersebut. Malah tidak perlu sesiapa menasihatinya untuk tarik balik walaupun atas nama untuk menjaga hubung baik Pakatan Rakyat kerana segalanya sudah terlambat. Kalau nak nasihat sepatutnya sebelum saman. Kalau nak tarik balik sepatutnya sebelum maruah Tuan Guru Presiden dicalar. Kini adalah masa Tuan Guru Presiden buktikan beliau dipihak yang benar. Kenyataan beliau berasas. Tindakan beliau adalah wajar. Kini dunia sedang menanti dengan penuh debaran untuk mengetahui keadaan sebenar.
11. Jangan jadikan "Penghakiman Ingkar" itu sebagai keputusan muktamad kerana ia hanya penghakiman separuh jalan. Kebenaran bukan boleh dibeli dan dibayar dengan RM2 juta. Biarpun RM10 juta, tanpa bukti kukuh dan saksi benar, kebenaran tidak akan tersingkap. Bukti mestilah dikemukakan. Saksi mestilah ditampilkan. Saya harap pihak peguam PAS berjaya mengenepikan "Penghakiman Ingkar" itu untuk membolehkan proses perbicaraan berlangsung seperti biasa dan kita semua akan dapat mengikuti dan mengetahui dengan jelas proses perbicaraan sebelum keputusan salah benar dimuktamadkan oleh mahkamah.
Nasrudin bin Hassan
Ahli PAS Indera Mahkota.
Hujjah balas kat makhamah lah.
ReplyDelete