Social Icons

twitterfacebookgoogle pluslinkedinrss feedemail

Pages

Friday 21 February 2014

DATIN PADUKA CHEW MEI FUN CALON BN UNTUK PRK KAJANG




KUALA LUMPUR -  Menepati spekulasi sebelum ini, Barisan Nasional hari ini mengumumkan Naib Presiden MCA, Datin Paduka Chew Mei Fun sebagai calon PRK Dun Kajang pada 23 Mac depan.

Pengumuman calon rasmi BN itu dibuat Timbalan Pengerusi BN, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada satu sidang media berhubung PRK Kajang di Menara Dato Onn, di sini hari ini.

Muhyiddin, yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, Mei Fun, yang berasal dari Selangor, menjadi pilihan kerana kewibawaannya, berpengalaman luas serta sudah biasa berurusan dengan kerajaan persekutuan.

"Strategi kita pastilah mencapai kemenangan. Walaupun kita tahu akan berhadapan dengan tentangan yang hebat daripada Pakatan Rakyat atau lain-lain pihak tapi kita anggap ini suatu peluang untuk BN tawarkan seorang calon.
   
"Calon BN yang dipilih ini, saya kira berwibawa, berpengalaman, (dan) pernah berada dalam kerajaan, (serta) menjawat jawatan sebagai naib presiden MCA," katanya.

Setakat ini, Mei Fun akan berhadapan dengan Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan seorang calon Bebas, Datuk Zaid Ibrahim.

Tarikh penamaan Dun Kajang akan diadakan pada 11 Mac depan.

PRK DUN Kajang diadakan berikutan peletakan jawatan secara mengejut penyandangnya Lee Chin Cheh daripada PKR pada 27 Jan lepas.

Muhyiddin berkata BN akan mengatur gerak kerja sebagaimana yang biasa dilakukan, dan akan memberi tumpuan yang khusus kepada jentera komponen parti dari situ.

"Komponen parti telah pun diarahkan untuk buat persiapan yang perlu termasuk daripada barisan Wanita, Pemuda dan Puteri untuk bergerak di setiap Pusat Daerah Mengundi (PDM). Kita juga telah mengenal pasti PDM yang kita menang dan kalah," katanya.

Timbalan perdana menteri menjelaskan bahawa keputusan bertanding di Kajang merupakan satu ruang dan peluang BN menawarkan khidmat kepada pengundi untuk membuat pemilihan yang bijak.

"BN berjanji sekiranya (Chew) Mei Fun dipilih sebagai Ahli DUN di Kajang, dia akan memberi tumpuan sepenuh masa untuk bela rakyat di Kajang, tidak kira kaum dan bangsa.

"Ini adalah tradisi BN untuk membela rakyat dan perkhidmatan sepanjang masa. Saya berharap dengan pengumuman hari ini, pengundi yang ada di Kajang akan memberikan sokongan sepenuhnya," kata beliau.

Ditanya mengapa BN mengambil masa agak lama untuk mengemukakan calon sedangkan pembangkang sudah mula berkempen, Muhyiddin berkata pada kebiasaannya, BN hanya akan membuat pengumuman dua hari sebelum hari penamaan.

"Tetapi, sekarang ini hampir dua minggu sebelum penamaan dan itu bukannya lewat. Ia merupakan satu tempoh masa sesuai berikutan kita perlu mendapatkan pelbagai input daripada pihak tertentu," katanya.

Ditanya sama ada BN dianggap sebagai 'underdog' dalam PRK serta mempunyai senjata rahsia untuk menghadapi pilihan raya kecil ini, Muhyiddin berkata:

"Kita harus mengatur strategi kerana kita sedar pihak yang bertanding akan ambil kesempatan untuk gunakan platform Kajang bagi memburukkan nama kerajaan.

"Pemimpin BN berpendapat sekiranya BN tidak bertanding, dan semasa PRK pelbagai isu dibangkitkan berkaitan dengan BN, siapa yang boleh jawab. Oleh itu, kita menggunakan PRK ini sebagai platform untuk menjawab supaya pengundi tidak disogokkan dengan maklumat sebelah pihak sahaja," jelas Muhyiddin.

Ditanya tentang keyakinan BN untuk menang, beliau berkata: "Kita tidak akan masuk bertanding PRK untuk kalah. Mestilah hendak menang. Jangan berasa tertekan. Biarlah pengundi menentukan pilihan mereka."

Muhyiddin turut menyerahkan watikah pelantikan sebagai calon BN kepada Chew, dan bersorak 'Hidup Barisan Nasional' sebanyak tiga kali.

Sementara itu, Chew, yang juga bekas anggota parlimen Petaling Jaya Utara, berharap pengundi Kajang dapat memberikan sokongan kepada beliau agar dapat menjadi wakil pembangkang dalam DUN di bawah kerajaan Selangor.

Chew, yang juga bekas Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, berkata ia merupakan peluang terbaik bagi rakyat untuk memastikan hala tuju politik Selangor ke arah sistem dua parti yang lebih sihat dengan sistem memantau dan menegur yang lebih berkesan.

"Saya memohon restu dan sokongan daripada pengundi Kajang supaya saya dapat dipilih sebagai Adun, yang mana dapat memperkuatkan lagi peranan parti pembangkang sebagai memantau dan menegur dalam kerajaan Selangor.

"Sekiranya ditakdirkan kemenangan, ini bukan anugerah kepada Chew Mei Fun, tapi memastikan Dewan Undangan Negeri dapat menuju ke arah sistem lebih sihat dengan lebih sesuai dengan suasana kepelbagaian di dalam negara kita," katanya. - Bernama

No comments:

Post a Comment

 

Sample text

Sample Text

Sample Text


 
Blogger Templates