Friday, 21 March 2014
AUSTRALIA TETAP TERUSKAN "SEARCH AND RESCUE" #MH370
Operasi mencari dan menyelamat (SAR) pesawat Malaysia Airlines MH370 di selatan Lautan Hindi pada Khamis ditangguhkan, kata Lembaga Keselamatan Maritim Australia (AMSA)
Dalam kenyataan yang dikeluarkan pada jam 2300 Waktu Siang Timur Australia (AEDT), (kira-kira 8 malam Malaysia), AMSA menyatakan operasi SAR itu akan diteruskan pada Jumaat.
"AMSA mengerahkan empat pesawat ke kawasan seluas 23,000 kilometer padu yang terletak kira-kira 2,500 kilometer dari barat daya Perth berikutan pencerapan imej satelit oleh Pertubuhan Risikan Geospatial Australia pada pagi Khamis," katanya.
Pesawat yang terlibat dalam usaha itu ialah dua pesawat AP-3C Orion milik Tentera Udara Diraja Australia, sebuah pesawat P8 Poseidon milik Tentera Laut Amerika Syarikat dan sebuah pesawat P-3K2 Orion milik Tentera Udara Diraja New Zealand bersama-sama dengan pesawat C-130J Hercules RAAF.
AMSA menyatakan sebuah kapal dagang tiba di kawasan carian itu pada petang Khamis dan sebuah lagi kapal dagang sedang menuju ke kawasan itu.
"Sejumlah enam kapal dagang membantu dalam pencarian ini sejak makluman perkapalan disiarkan pada malam Isnin. Kapal HMAS Success milik Tentera Laut Diraja Australia juga sedang menuju ke kawasan pencarian itu," kata AMSA.
Imej berkenaan dicerap pada Ahad namun, berikutan banyaknya imej yang dicari serta proses pemerincian analisis, maklumat itu hanya dibawa ke perhatian AMSA pada pagi Khamis, kata lembaga itu dalam kenyataan yang dimuat turun daripada laman webnya www.amsa.gov.au Khamis.
"Imej-imej ini telah dinilai sebagai boleh dipercayai tetapi ia juga mungkin tidak berkaitan dengan pencarian ini," kata AMSA.
Pada Khamis, Perdana Menteri Australia Tony Abbott berkata imej satelit itu mencerap dua objek yang mungkin berkaitan dengan pencarian pesawat Malaysia Airlines MH370.
Pesawat Boeing 777-200ER itu yang membawa 239 orang, berlepas ke Beijing dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL pada 8 Mac lepas dan hilang sejak itu, yang kini masuk hari ke-13.
Awal hari Khamis, AMSA menyatakan pesawat AP-3C Orions milik Tentera Udara Diraja Australia yang pertama tiba di lokasi berkenaan, gagal mengesan dua objek itu berikutan cuaca buruk yang mengehadkan jarak penglihatan.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment