Suspek kes bunuh pegawai AmBank, Laode Ardina Laode Rasila dipercayai membeli kad pengenalan palsu daripada seorang lelaki warga Indonesia.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, pembelian kad pengenalan palsu itu dibuat di Malaysia dan ia bukan kad pengenalan yang dikeluarkan oleh Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).
“Dia (suspek) mengaku membeli kad pengenalan itu dari seorang lelaki warga Indonesia. Kita sedang menyiasat berkenaan dengan penjualan kad pengenalan palsu.
“Ini kad pengenalan palsu, bukan kad yang dikeluarkan oleh Jabatan Pendaftaran Negara dan suspek juga membeli kad pengenalan itu di Malaysia,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Seminar Pencegahan Jenayah Dari Perspektif Islam di Maktab Polis Diraja Malaysia di sini, hari ini.
Sementara itu katanya, polis turut memburu seorang lagi rakan suspek yang dikenali sebagai Joemar dipercayai menjadi dalang utama merancang rompakan tersebut.
Menurut Khalid, rakan suspek itu juga dipercayai memiliki sebahagian besar wang hasil daripada rompakan itu.Semalam, Laode Ardina diberkas oleh sepasukan anggota polis dari Bukit Aman dalam Ops Cantas yang dijalankan Kampung Belungkor, Kota Tinggi, Johor.
Suspek dipercayai terlibat dalam rompakan di sebuah cawangan Ambank, USJ 2 Sentral pada 23 Oktober lepas menyebabkan seorang pegawai operasi bank terbabit, Norazita Abu Talib maut terkena tembakan di kepala
No comments:
Post a Comment