Social Icons

twitterfacebookgoogle pluslinkedinrss feedemail

Pages

Saturday 8 February 2014

MALAYSIA HANTAR ANGKASAWAN KE-2 KE ISS



Malaysia dijangka menghantar angkasawan keduanya ke Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS) pada 2017 atau 2018, kata Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Dr Ewon Ebin.

Bagaimanapun, beliau berkata perkara itu bergantung kepada keadaan semasa ekonomi negara.

“Bagi Program Angkasawan Kedua ini kita telah mempunyai seorang calon sedia ada yang hanya menunggu masa sahaja. Tapi ini masih terbuka kepada calon-calon lain yang berminat menjadi angkasawan,” katanya.


Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan program ‘Malaysian Space Odyssey: 20 Years With National Planetarium’ sempena sambutan ulang tahun ke-20 penubuhan Planetarium Negara semalam.

Malaysia buat julung kalinya menghantar angkasawan Datuk Dr Sheikh Muszaphar Shukor ke ISS dengan roket Soyuz TMA-11 pada 10 Oktober 2007, hasil kerjasama dengan Rusia dan beliau menjalankan pelbagai penyelidikan antaranya membabitkan sel kanser dan leukemia di stesen angkasa itu.

Ewon berkata, kerajaan kini juga sedang merangka pembinaan satelit ‘remote sensing’ bagi memantau permukaan bumi iaitu RazakSAT-2.

“Program ini masih dalam peringkat perbincangan dan kita masih memilih teknologi yang kita fikir sesuai kerana kita tak mahu terburu-buru untuk melancarkannya sebelum semua perkara berkaitan dapat kita pastikan,” katanya.

RazakSAT-2 adalah kesinambungan Program Satelit RazakSAT yang dilancarkan pada 14 Julai 2009 di Kwajalein Atoll, Republik Marshall Islands menerusi kenderaan pelancar, Falcon 1 yang dikendalikan Space Exploration Technologies Amerika (SpaceX).

No comments:

Post a Comment

 

Sample text

Sample Text

Sample Text


 
Blogger Templates